Aisyah Demam Lagi...

[Sabtu, 31 Oktober 2009] Aisyah demam lagi. Sepanjang malam hari Jumaat itu Aisyah tidak dapat tidur dengan sempurna. Sebenarnya Aisyah mengulangi 'sejarah' demamnya pada bulan Januari lalu iaitu meragam sepanjang malam kerana tidak sihat.

Pada mulanya, petang Jumaat itu apabila ummi dan abah balik dari bekerja, badan Aisyah panas. Tetapi seperti biasalah Aisyah tidak akan menunjukkan tanda-tanda macam orang tidak sihat. Main dan nakalnya macam itu juga.

Pada malam itu, Aisyah mula meragam. Tidur sejam atau setengah jam, kemudian jaga dan terus menangis dan melalak. Fuh, bukan main jenuh ummi dan abah hendak pujuk. Pujuk pula tak mainlah dengan dodoi atau kata-kata manis yang klise daripada ummi dan abah atau setakat upah susu, pujuknya mesti dengan lagu-lagu atau CD-CD kegemaran Aisyah.

Huh, ada kalanya dah bermacam-macam CD ditukar dan dimainkan, Aisyah membentak tidak kena; padahal Aisyah yang pasang sendiri tadi...!