Syawal yang Syahdu dan Ceria

Raya tahun lepas Aisyah belum boleh berjalan lagi. Merangkak dan "bergayut" pada perabot dan perkakas rumah, bertatih setapak dua, terus terduduk. Bangkit lagi, bergayut, bertatih setapak dua, duduk lagi.

Raya tahun ini (1430 Hijrah) Aisyah dah pandai berjalan dah. Mulut pun dah "macam bertih" cakap itu dan ini.

Pagi raya Aisyah bangkit awal. Tenyeh mata, tersengih-sengih terus senyum. Dengan rambut mengerbang, mulut muncung Aisyah merengek nak mandi. Aik, awal pula nak mandi. Baru pukul 7.

Ummi dan Abah bersyukur Aisyah bersama Ummi dan Abah serta bersama keluarga kita. Aisyah sebagai "permata Ummi dan Abah" benar-benar menjadi permata yang "munirah" (yang menerangi) hidup Ummi dan Abah sekeluarga.

Hantar Abah di Airport Subang

"Aapai tebang abah... aapai tebang abah..." jerit Aisyah.

Ingatkan apa, rupa-rupanya Aisyah cukup melekat dan kuat ingatannya. Ketika berlegar-legar di dalam Sky Park, Subang sebelum berlepas ke Pekan Baru, Indonesia Aisyah, Ummi dan Paksu menemani Abah ke airport.

Aisyah tengok kapal terbang. Abah dan ummi tunjukkan Aisyah kapal terbang. Ummi kata "Tu kapal terbag abah, abah nak naik kapal terbang tu".

"Aapai tebang abah..." sambut Aisyah sambil terangguk-angguk. Intonasinya bertanda soal. Aisyah macam bertanya, untuk mengesahkan barangkali.

Ummi sepatutnya menemani Abah, tetapi kerana Aisyah, Ummi sanggup tinggal lagi. Sudah berbulan sebenarnya Abah dan Ummi "berpolemik" untuk pergi atau tidak menyertai rombongan pejabat ke Pekan Baru.

Abah memang awal-awal lagi "tidak ada hati" sangat. Biasa-biasa saja, tidaklah begitu teruja dan seghairah menyertai lawatan ke luar negara seperti sebelum ini.

Kalau Ummi yang pergi, Abah tidak pergi. Kalau abah pergi, ummi pula tidak pergi. Itu sifirnya, itu formulanya. Meninggalkan Aisyah, oh tidak! Pernah ummi dan abah berfikir begitu, tetapi apabila melihat mata Aisyah dan melihat keletah dan kerenah Aisyah, maka biarlah sifir di atas sahaja yang diguna pakai.

Namun, akhirnya ummi "mengalah" kerana Abah punya peranan dan tugas yang lebih besar untuk menyertai lawatan itu.

Ah, melalut pula ke situ....

Di Sky Park, Aisyah macam biasa suka sangat main escalator dan tangga. Naik turun, naik turun sambil terjerit-jerit riang.

Suatu Pagi di Bulan Ramadhan 1430H

[6 September 2009] Ini adalah gambar-gambar Aisyah yang diambil pada 6 September 2009 sempena bulan puasa 1430H. Gambar-gambar ini diambil pada waktu pagi beberapa jam selepas Aisyah bangun tidur.









Aku Terima Nikahnya

Alhamdulillah, beberapa minggu [bulan?] bergelut dengan waktu, akhirnya Abah dapat juga menghabiskan telaah buku “Aku Terima Nikahnya” tulisan Sdr. Hasrizal Abdul Jamil.

Terus-terang awal Abah membeli buku ini adalah kerana faktor pengarangnya. Abah kenal pengarangnya, malah sebenarnya bukan kenal sangat pun hanya kenal kerana Hasrizal adalah pernah menjadi fasilitator di Fitrah Perkasa di mana di Fitrah Perkasa itu Abah pernah mengikuti training-nya yang amat mengesankan, sehinggalah ke hari ini.

Selebihnya Abah mengenali Hasrizal lewat laman blognya saifulislam.com dan ceramah-ceramahnya yang berbentuk MP3 itu. Terkini, Hasrizal juga yang memberi idea teledrama Cinta Sempurna yang sedang dipertontonkan di Astro Oasis.

Berbalik kepada buku Aku Terima Nikahnya, pada awalnya Abah menyangkakan ia adalah buku tentang nikah kahwin saja, buat orang dewasa kononnya. Ya, sangkaan itu tidak pula meleset jauh.

Separuh membaca buku itu berkisar tentang keluarga dan pasangan; tentang lelaki dan perempuan, tentang suami dan isteri, tentang Abah dan Ummi. Bermula dari halaman 116 sehinggalah ke akhirnya adalah halaman-halaman yang Abah pasti akan menjadi rujukan Abah sentiasa kerana di sana tercatatnya bagaimana Abah dan Ummi harus melayani anak-anak dengan betul dan sewajarnya.

Alhamdulillah, Abah mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT kerana mempertemukan Abah dengan buku dan “ilmu Allah” yang sangat berguna itu kepada Abah serta terima kasih Abah kepada Sdr. Hasrizal yang mengarang buku itu. Semoga Hasrizal akan terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus menulis. Terkini, buku Aku Terima Nikahnya 2 sudah mula menjengah pasaran selain buku ketiganya Rindu Pohon Tin juga sedang menyusul.

Insya’allah, dari semasa ke semasa Abah dan Ummi akan berkongsi maklumat dan pengalaman Abah daripada buku itu di laman ini.

Buat Aisyah, Abah dan Ummi sangat bahagia dengan kehadiranmu. Abah dan Ummi akan cuba memberikan kasih sayang yang terbaik buatmu.

Sebagaimana sukarnya Abah dan Ummi melepaskanmu setiap pagi untuk ditinggalkan di rumah pengasuh (nurseri) begitulah rindunya Abah dan Ummi untuk segera lekas pulang dari tempat kerja untuk mengambilmu secepat mungkin. Setiap hari!

Aisyah Sambut Hari Jadi Ke-2 di Kampung

20072009: Kod Hari Jadi Aisyah Yang Ke-2

Alhamdulillah, Aisyah Munirah telah genap usianya dua tahun pada hari Isnin, 20 Julai 2009. Aisyah semakin cerdik, semakin pintar, semakin cute dan juga semakin nakal.

Ummi dan Abah semakin sayang kepada Aisyah. Saban hari semakin banyak telatah Aisyah yang membuatkan Ummi dan Abah bertambah bahagia dan gembira bersama Aisyah.

Aisyah sudah pandai berkomunikasi dengan Ummi dan Abah. Ada cakap Aisyah yang Abah faham, ada cakap Aisyah yang Ummi faham. Ada pula cakap Aisyah yang Abah dan Ummi langsung tak faham apa-apa.

Keletah Aisyah cukup mengujakan. Kekadang Aisyah buat lagak solat dan berdoa. Kekadang Aisyah menari dan menyanyi. Kekadang pula Aisyah bermain dan menonton.

Sekarang ini Aisyah paling suka tengok video lawatan ke Zoo Negara bulan lalu. Video itu Aisyah panggil video “Cik Ja”. Entah sudah berpuluh kali Abah pasang untuk tontonan Aisyah.

Video Upin dan Ipin pula Aisyah dah mula kurang minat. Dulu tiap-tiap hari kena pasang video Upin Ipin untuk Aisyah.

Sesekali telatah nakal Aisyah membuatkan Ummi dan Abah marah, geram: namun semuanya kerana sayang.

Hadiah hari jadi?

Tidak ada yang lebih besar daripada kasih sayang ummi dan abah terhadap Aisyah. Itu tidak dapat ditukar dengan nilai harta dan wang ringgit.

Beberapa minggu lagi, Ummi dan Abah sebenarnya perlu ke luar negara atas trip pejabat Ummi dan Abah bekerja.

Tidak seperti selalu [tahun-tahun sebelumnya] awal-awal lagi hati Abah biasa-biasa saja. Tidak seghairah dulu. Ya, kalau pergi, pergi, Kalau tidak pergi pun tidak apa.

Dalam satu perjumpaan untuk memutuskan keputusan, apabila Abah ditanya sama ada hendak pergi atau tidak, Abah jawab “tidak”. Apabila ditanya kenapa, Abah jawab, “saya nak jaga anak saya”.

Ya, Ummi dan Abah sudah dua tahun bersama Aisyah, siang dan malam. Walaupun ibu, bapak menawarkan untuk menjaga Aisyah, Ummi dan Abah rasa tidak tergamak untuk meninggalkan Aisyah selama tiga hari dua malam itu.

Insya’allah Ummi dan Abah akan buat sedikit kenduri kesyukuran di kampung pada hujung minggu ini sempena ulang tahun Aisyah yang kedua ini. Mak Jang juga hendak buat sedikit kenduri kesyukuran untuk Hariz Hakimi. Abah dan Ummi cadangkan disatukan saja kenduri itu.

Selamat Ulang Tahun Ke-2 Untukmu Aisyah Munirah - Permata Hati Ummi dan Abah!

Aisyah @ Zoo Negara: Cik Ija Datang...

[21 Jun 2009] Hujung minggu. Sudah lama Ummi dan Abah tidak bawa Aisyah jalan-jalan. Hari Jumaat, Ummi dan Abah dah bincang nak bawa Aisyah jalan-jalan esok (hari Sabtu - 20 Jun 2009). Bincang punya bincang, Ummi dan Abah setuju nak bawak Aisyah pi Zoo Negara.

Abah tanya Aisyah, “Aisyah nak tengok gajah dak?” “Njah… jah…”, jawab Aisyah. “Ha, esok Ummi ngan Abah bawak Aisyah tengok gajah na”, kata Ummi.

Lepas tu, Ummi kata elok juga ajak Cik Ija sekali. “Cik Ija” adalah panggilan Aisyah untuk makciknya “Makcik Liza”.

Pagi Sabtu. Mendung. Hujan renyai-renyai di Kota Damansara. Cik Ija telefon tanya Ummi jadi tak nak pegi Zoo Negara. Hujan lebat kat Shah Alam kata Cik Ija. Abah kata kalau ujan tak seronok la nak jalan. Ummi nak pi juga. Aisyah pun nak pi jugak. Ya lah, takkan hujan sepanjang hari kan? Jadilah, kata Abah. Pukul 10.00 tayar keta bergolek.

Ha, inilah dia gambar-gambar Aisyah masa kat Zoo Negara. Terima kasih istimewa buat Cik Ija yang sudi datang meraikan Aisyah kat Zoo Negara!

Gajah: Nduk... Nduk... Nduk...

Heroin Mengemas Rumah

Aisyah @ Ikano: Cik Ija Tak Datang La...

Aisyah bangun awal pagi. Jam tujuh. Abah tengah mengemas rumah. Ummi tengah basuh kain. Semalam Abah dengan Ummi dah janji nak bawah Aisyah pegi main dekat Ikano lagi. Ha, Aisyah kan suka main kat situ.

Tapi kali ini sebenarnya Acik Liza pun nak main dengan Aisyah juga. Acik Ina kawan Abah dan Ummi yang baru kat office tu pun nak kenal dengan Aisyah.

Acik Liza kata Aisyah pegi la dulu kat Ikano. Dalam pukul 10 lebih Acik Liza sampaila, katanya. Tapi, sampai ke sudah, Acik Liza dan kawan-kawannya tak datang-datang pun….

Kat Ikano, biasa la, Aisyah seronok bukan main. Tapi, kali ini Abah dan Ummi bawak Aisyah main tempat yang baru, tempat yang biasa tu dah tiga kali Aisyah main kan. Kali ni kita main kat tempat baru pulak.

Sayangnya, Acik Liza tak jadi datang pulak… Ha, inilah gambar-gambar Aisyah masa kat Ikano.

Peminat Upin Ipin... Betul, Betul, Betul

Aisyah Nak Troli Baby

Abah tak pernah beli Aisyah troli baby. Akhirnya Aisyah dah besar cengini, dah buleh berjalan pun, tak kan nak troli baby lagi. Takpalah, Abah bagi Aisyah try yang kat Jusco ni pun ok kan?

Tengok tu, siap baring lagi… Seperti biasa bila dah naik Aisyah tak mau turun. Sepeti biasa jugak Abah akan terus angkat Aisyah macam tu saja. Aisyah ni mengamuk kejap saja. Menangis pun kejap saja. Tak sampai setengah minit dah diam dan bagi perhatian kat benda lain. Itulah istimewanya Aisyah.

Sebelum balik bagi can Aisyah naik keta ni pulak. Ya lah tadi naik troli jer, nak pulak naik keta. Seperti biasa Aisyah tak mau turun. “Nan nak!”, kata Aisyah. Dan seperti biasa jugak Abah akan terus saja angkat Aisyah. Kali ni Aisyah menjerit kuat. Semua orang tengok.

Nak pujuk Aisyah, Abah dan Ummi beli benda ni kat Aisyah. Aisyah suka bukan main walaupun Abah tahu Aisyah bukan nak main sangat. Apa dia? Ni, tengok la kat bawah ni:

Amukan Aisyah; Hempuk Botol

Gambar-gambar ini diambil di Jusco, Megamall Mid Valley. Hari ini Ummi ajak Abah pi Mid Valley semata-mata nak cari botol dan puting susu Aisyah. Botol yang ada tu dah pecah-pecah. Aisyah astik hempuk saja botol tu, mana tak pecah. Puting pula habih Aisyah gigit. Pecah juga.

Dengan Acik Liza @ Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Ayam Panggang Kenny Rogers @ Amcorp Mall

Jom Sembahyang!

"Adik" Aisyah: Wan Aminuddin Abd. Rahim

Menanti Kelahiran

[26 Disember 2008] Gambar-gambar ni sebenarnya masa Aisyah di Hospital Kulim, Kedah. Bukan Aisyah masuk Hospital tapi tunggu kelahiran “orang baru”: Wan Aminuddin, adik kepada Adik Bob. Gambar Aminuddin? Tunggu…

Aisyah @ R n R Tapah

Gambar-gambar ni masa Aisyah berhenti rehat kat R & R Tapah menghala ke utara. Lepas mamam bihun sup, Aisyah nak naik kuda ni. Kedekuk kedekuk kedekuk. Masa ni Aisyah dalam perjalanan nak balik kampung di Serdang, Kedah. Nak tahu, Aisyah tanak turun dari kuda ni. “Nanak”, kata Aisyah bila Abah ajak Aisyah balik.

Aksi Spontan Aisyah Kat Mid Valley

[20 Februari 2009]

Masuk Bakul Angkat Sendiri

Aisyah & Grown Up Digital

[19 Februari 2009] Gambar-gambar kat bawah ni masa Aisyah ke MPH di Mutiara Damansara mencari buku Grown Up Digital tulisan Don Tapscott. Habih buku-buku kat MPH “dibacanya”:

Gambar Aisyah Yang Dulu-dulu (IV)

Gambar Aisyah Yang Dulu-dulu (III)

Gambar Aisyah Yang Dulu-dulu (II)

Gambar Aisyah Yang Dulu-dulu

Aha, kali ini abah nak post gambar Aisyah yang dulu-dulu. Gambar-gambar ini ada yang abah dah tak pasti dan tak ingat lagi tarikh bila abah ambilnya. Gambar-gambar ni “kurenglah” kualitinya sebab abah hanya tangkap pakai handphone saja. Apa pun, ia tetap menjadi kenangan untuk Aisyah, Ummi dan Abah juga.

Aisyah Demam Panas & Cirit-birit

Ahad, 18 Januari 2009. Aisyah datang kepada Abah hampir jam 7.00 pagi, tiba-tiba Aisyah muntah di sisi Abah. Abah jadi cemas sedikit. Abah ceritakan kepada Ummi. Namun, pukul 5.45 pagi tadi Ummi maklumkan Abah, Aisyah muntah juga, muntahkan lendir kata Ummi. Sebetulnya Aisyah selsema sejak beberapa hari lalu. [Gambar: Aisyah ketika mula demam pada pagi Ahad, 18 Januari 2009]

Awal pagi Aisyah ok jer. Masih ceria dan lincah dengan keletahnya yang lucu-lucu begitu. Lebih kurang jam 10.00 pagi Abah dan Ummi rasa tidak sedap hati dan terus membawa Aisyah ke klinik. Klinik Izham pilihan Abah.

[Aisyah ada dua klinik yang serasi dan dua orang doktornya amat memahami sakit-sakit Aisyah sejak Aisyah berumur empat bulan lagi. Klinik Nadia dan Klinik Izham. Bagusnya klinik Izham ini beroperasi 24 jam, Apabila jika ada kecemasan, bila-bila pun boleh pergi.]

Aisyah diberikan ubat selsema, ubat demam, ubat tahan muntah dan antibiotik. Ini pun satu “penyakit lagi”, Aisyah bukan main payah nak makan ubat….

Ummi kemudiannya ajak Abah terus ke Tesco. Susu dan lampin Aisyah dah nak habis kata Ummi. Di Tesco Aisyah pun masih lagi ceria dan berkeletah macam biasa. Berjalan ke sana ke mari dengan laju dan bising mulutnya.

Dalam perjalanan balik ke rumah, Aisyah mula menunjukkan perubahan. Nampak Aisyah letih dan pucat. Dalam kereta tidak lagi nakal seperti selalunya dan hanya bersandar dan berbaring pada Ummi. Suhu badan Aisyah abah berasa panas sedikit.

Tengahari, Aisyah tidak lalu makan dan tidak mahu makan. Suhu badan Aisyah panas. Aisyah mula merengek dan tidak lagi boleh berjauhan dengan Ummi atau Abah. Ummi atau Abah mesti ada di samping Aisyah. Kalau tak nampak Ummi atau Abah, Aisyah akan gunakan strategi biasa Aisyah untuk menarik perhatian Ummi atau Abah: menangis!

Petang itu Aisyah betul-betul demam. Demam panas. Menjelang malam, panasnya makin garing. Apa yang lebih merisaukan Abah, Aisyah tidak boleh tidur dalam waktu yang lama. Paling lama Aisyah tidur hanya setengah jam sepanjang malam itu. Sebaik saja terjaga dari tidur, Aisyah akan merengek dan menangis. Setengah jam pula kemudiannya Abah dan Ummi kena pujuk Aisyah supaya Aisyah dapat tidur semula. Aisyah kena banyak berehat dan tidur supaya ubat Aisyah memberi kesan. Air asam jawa juga Ummi jelumkan di kepala Aisyah untuk mengurangkan panas badan Aisyah.

Semalaman Aisyah tidur, bangun, merengek dan menangis bersilih ganti. Abah dan Ummi juga tidak dapat tidur semalaman. Bangun saja tidur AIsyah hendak duduk di ribaan Abah atau Ummi. Kekadang, Aisyah mahu didukung dan mahu dikendong. Jam 3.00 pagi Abah sudah berkira-kira mahu membawa Aisyah ke klinik lagi. Ke Hospital Sungai Buloh juga menjadi pertimbangan Abah waktu itu. Ummi masih bertahan lagi dan berkata kita tunggu dan lihat perkembangan Aisyah pagi besok.

Isnin, 19 Januari 2009. Abah dan Ummi pening-pening lalat kesan tidur yang tidak sempurna semalamnya. Sesuatu yang Abah berasa cukup ralat di awal pagi dan di awal minggu permulaan kerja ini ialah meminta emergency leave dari tempat kerja. Tapi yalah, nak buat macamana, semua ini bukan kehendak Abah dan Ummi, apatah lagi dirancang.

7.30 pagi Abah dan Ummi yang telah bersiap untuk ke pejabat membatalkan saja rancangan itu dan terus membawa Aisyah ke Klinik Izham lagi. Simptom baru Aisyah pagi ini ialah cirit pula. Seharian semalam Aisyah tidak menjamah makanan pun hanya minum susu dan air saja. Jelas sekali Aisyah tidak bertenaga hari ini.

Oh Tuhan, dalam perjalanan dari rumah hendak ke klinik yang jauhnya cuma empat kilometer dari rumah itu pun, jalan jamm bukan main. Sejak berpindah ke pejabat baru, laluan ini yang biasa Abah ikut sejak lima tahun dulu sudah begitu teruk sesaknya. Luar biasa sekali.

Aisyah masih lagi merengek dan menangis. Ya, tentu saja Aisyah tidak selesa dengan panas badan dan demam Aisyah ini kan? Yalah, Aisyah tidak dapat beritahu kan? Abah dan Ummi faham.

Doktor Izham yang bertugas hari ini memaklumkan bahawa Aisyah kembung perut pula. Perut Aisyah keanginan. Doktor memberi ubat kembong perut pula. Katanya Aisyah cirit disebabkan perut yang keanginan.

Balik dari klinik, Aisyah cirit lagi dan buat hal yang sama; menangis dan merengek sepanjang perjalanan. Buat pertama kalinya Abah dan Ummi berasa inilah ragam Aisyah yang paling teruk sekali apabila demam. Aisyah pernah demam lebih teruk dari ini, demam campak; namun Aisyah tidak begitu meragam waktu itu.

Aisyah Munirah: permata hati Ummi dan Abah! Semoga lekas sembuh sayang!

Aisyah @ Taman Tasik Kota Damansara

Hari ini Abah dan Ummi bercuti biasa di hujung minggu. Ha, sudah tentu Aisyah tahu Abah dan Ummi akan bawa Aisyah jalan-jalan kan? Petang ini, 17 Januari 2009 Abah dan Ummi nak bawa Aisyah ke Taman kota Damansara. Kat sana ramai kakak, abang, acik dan kawan-kawan lain. Abah juga dah plan nak ambil gambar Aisyah banyak-banyak. Aisyah teruja sekali. Lihatlah gambar-gambar Aisyah ni!

Aisyah @ Ikano Power Centre, Muitara Damansara

Kali ini Aisyah Abah dan Ummi bawa ke Ikano Power Centre, Mutiara Damansara. 4 Januari 2009, Abah dan Ummi cuti. Sengaja bawa Aisyah ke sini. Aisyah sukaaa bangat main-main kat sini. Ha ha ha… tengoklah keletah Aisyah tu….

Aisyah @ Megamall, Mid Valley (II)

Ini gambar-gambar Aisyah di Megamall, Mid Valley pada 3 Januari 2009. Bawak Aisyah ke sini sebab Abah dan Ummi nak beli baju baru untuk Aisyah….

Dah Buleh Berjalan: Tok Rai Dengan Pulut Inti

Gambar-gambar ini diambil pada 7 Disember 2008 semasa balik kampung sempena Hari Raya Aidiladha. Pulut inti? Ha ha ha…. Itu gambar Tok, Mak Jang dan Makcik Aisyah tengah buat pulut inti. Tok antara orang yang sangat gembira dan seronok apabila Aisyah dah boleh berjalan. Ya kali ini pertama kali Aisyah balik kampung sejak boleh berjalan kira-kira tiga minggu yang lalu.

Tok sangat bersyukur Aisyah dan boleh berjalan. Sebagai tanda kesyukuran, Tok berhajat membuat pulut inti dan sedekahkan kepada budak-budak di kampung. Pulut inti, hmm sedap!

Aisyah @ The Curve, Mutiara Damansara

Gambar-gambar ini dirakam pada 2 Disember 2008. Abah dan Ummi bawa Aisyah ke The Curve, Mutiara Damansara untuk jumpa dengan Wan, Ayah dan Ibu.

Dah Buleh Berjalan @ Megamall Mid Valley

Gambar diambil pada 30 November 2008. Abah dan Ummi seronok apabila Aisyah dah boleh berjalan. Jadi, ni kali kedua bawa Aisyah jalan-jalan. Destinasi kali ini ke Megamall, Mid Valley.

Aisyah Dengan Cik Ija dan Cik Ada

Hari Sabtu, 30 November 2008. Sepatutnya hari cuti bagi Abah dan Ummi. Tapi hari ini Abah dan Ummi kena kerja jugak. Ada Program Pengurusan Emosi Wanita dan Keluarga Parlimen Petaling Jaya Selatan di Menara Yayasan Selangor.

Yang Aisyah Dah Kenal...

Hari ketujuh puasa. Selepas subuh. Pukul 7.00 pagi tetiba abah rasa mengantuk yang amat sangat. Semalam abah membaca sehingga jam 3.00 pagi, pukul 5.00 sudah bangun untuk sahur, justeru abah berasa hendak baring-baring sekejap.
Aisyah tiba-tiba datang dengan sengih dan senyum yang sememangnya menggeramkan abah dan ummi selama ini. Anak abah dah bangun! Seperti biasa Aisyah akan abah cium. Hmm… sayang sikit, sayang sikit. Itu dialog yang biasa abah guna untuk mencium pipi Aisyah.
Entah macamana abah tergerak untuk bertanya Aisyah beberapa soalan.
“Telinga mana telinga?” Itu soalan abah.
Sambil tersenyum Aisyah angkat tangan dan terus pegang cuping telinga kanan. Abah agak terkejut, namun hati abah berbunga gembira. Girang dan bangga.
“Rambut mana rambut?”
Aisyah angkat lagi tangan kanan dan pegang kepala sambil menyapu rambut Aisyah yang jarang itu. Juga dengan senyum yang tidak lekang dari bibir Aisyah. Abah bangga lagi.
“Gigi mana gigi?”
Kali ini Aisyah menyeringai, tersengih menunjukkan gigi Aisyah yang baru tumbuh lapan batang itu. Oh Aisyah, anak abah dan ummi ini semakin pintar ya.
“Hidung mana hidung?” Kali ini Aisyah nampak kaget. Tak tahu.
“Tangan mana tangan?”
Aisyah mengangkat kedua-dua tangannya ke atas.
“Kaki mana kaki?”
Aisyah terus mengangkat kaki kanannya dan ditunjukkan pada abah.
Abah terus bangun dan membawa Aisyah kepada ummi yang masih tidur. “Ummi, ummi bangun ni, tengok Aisyah ni,” kata abah.
“Kenapa?” tanya ummi.
Lalu, abah mengulangi semua soalan-soalan yang abah tanyakan Aisyah tadi dan Aisyah pun mengulangi jawapan-jawapan itu dengan senang hati.
Hati ummi dan abah sangat girang hari ini…!

Jumpa Misha di Amcorp Mall

Balik dari melawat Aquaria KLCC abah bawa Aisyah, ummi dan Jang singah di Amcorp Mall, dekat dengan pejabat abah. Sebenarnya abah, ummi dan Jang dah lapar sangat.
Sepagian abah mendukung Aisyah tengok ikan-ikan di Aquaria. Sampai Aisyah tertidur di bahu abah. Disebabkan ummi mengadu sudah lama abah tidak membawanya makan di Restoran Kenny Rogers, abah pun membawa kita ke sana.
Di Amcorp Mall, Aisyah ghairah mahukan belon. Abah membawa Aisyah ke kedai menjual barang-barang permainan berdekatan dengan Kenny Rogers itu. Banyak belon berwarna hijau. Aisyah teruja sangat kalau nampak belon, menunjal-nunjal kaki Aisyah di badan abah.
Abah pun bertanya kepada auntie kedai berapa harga satu belon itu. Auntie itu menjawab, belon itu tak jual, kita bagi free. Abah sedikit kaget.
“Tak apa, kalau dia nak auntie boleh kasi ya”. Ah, rezeki Aisyah. Akhirnya Aisyah dapat belon itu percuma.
Tiba-tiba ada seorang anak perempuan Singh menangis sambil menunjukkan kepada beln yan Aisyah dapat. Umurnya dalam lingkungan satu tahun setengah. Misha namanya. Dia sedang mencuba basikal kecil.
Dia nampaknya sangat teruja nak berkenalan dengan Aisyah. Abah pun membawa Aisyah kepadanya. Aisyah pun suka juga dengan Misha ya.
Aisyah dan Misha pun berkenalan dengan bahasa Aisyah yang Aisyah sendiri saja yang faham. Sebelum beredar, Misha sempat memberikan flying kiss kepada Aisyah.
Bye… bye… Misha!

Aisyah di Hospital Kulim

Selepas banjir besar dan pada hari semua keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing (setelah empat hari di pusat pemindahan banjir), Aisyah pula terpaksa dimasukkan ke Hospital Kulim.
Dalam perjalanan pulang ke kampung, abah dan ummi sangat risau dan bimbang. Kenapa pula dengan Aisyah. Njang kata Aisyah selalu menangis malam dan menjerit bagaikan mengadu sakit sesuatu. Doktor mengesahkan saluran pemakanan Aisyah sempit dan Aisyah kerap mengalami masalah kembung perut. Buat semalam dua, Aisyah terpaksa bermalam di Hospital Kulim.
Sekali lagi buai menjadi masalah.Yalah, di hospital macamana nak pasang buai. Nasib baik ada seorang pembantu jururawat yang bersimpati dengan Aisyah, memasang buai untuk Aisyah pada katil wad. Tengoklah buai Aisyah tu….
Di hospital, ummi jaga Aisyah pada waktu malam. Abah cuma dapat melawat Aisyah pada waktu siang. Kebetulan, anak Abah Tokcik, Pak Ngah juga kena masuk hospital untuk menjalani pembedahan apendiks. Kebetulan juga katil Pak Ngah pun sebelah Aisyah juga.

Aisyah di Pusat Pemindahan Banjir

Abah dan ummi masih ingat lagi. Hampir dua bulan usia Aisyah, abah dan ummi kena ke Bandung, Indonesia. Waktu itu, Aisyah duduk dengan Tok di kampung.
Ketika di Indonesia, Njang telefon abah memaklumkan kampung dilanda banjir. Sememangnya banjir adalah biasa di kampung abah. Namun pada waktu itu Njang memaklumkan bahawa semua orang kampung terpaksa berpindah ke Dewan Serdang di pekan Serdang. Air dalam rumah sudah paras pinggang. Huh, ini memang banjir paling besar. Seumur hidup abah di kampung, tidak pernah lagi kena banjir sampai terpaksa berpindah ke pusat pemindahan.
Sayangnya, abah dan ummi tidak boleh lekas-lekas pulang. Abah dan ummi ada dua hari lagi jadual di Indonesia. Njang memaklumkan kepada Abah semuanya ok. Cuma satu yang menarik, ketika di pusat pemindahan banjir, tidak ada tempat dan alat untuk gantung buai Aisyah. Ha, tengoklah gambar tu, buai Aisyah kena gantung di besi kontraktor saja.

La Ni Dah Tak Larat Ligan Dah...

Masa berlalu, Aisyah kini dah merangkak ke sana ke sini. Njang kata la ni dah tak larat nak ligan (kejar) Aisyah dah. Aisyah selalu merangkak masuk bawah meja makan. Destinasi lain ke kipas angin atau destinasi lain lagi ke dalam bilik abah dan ummi. Kekadang tu masuk bilik Njang dan jugak Paksu. Hui, banyak tul destinasi… Cuti-cuti Malaysia…!

Aisyah Ada Mmbru... Evolution 10

Apa dia mmbru? Ha, Aisyah dah ada walker. Aisyah panggil walker tu mmbru. Bru… bru… macam bunyi motor tu ye? Atau macam bunyi “keta” tu kan?
Paksu Aisyah, namakan “keta” Aisyah tu “evo”; he he… singkatan kepada Evolution tu!

Dah Mula Belajar Merangkak

Selepas dah boleh meniarap sendiri Aisyah kini semakin pandai dan cerdik. Sekarang Aisyah belajar untuk merangkak pula malah sudah pun merangkak beberapa tapak. Sasaran Aisyah ialah bawah meja makan. Letih tengok ummi ulang-alik ambik Aisyah dari bawah meja.

[Gambar]

Aa... aaba... Bahagianya

Perkataan pertama yang keluar dari mulut Aisyah ialah “aaba” dan sesekali bunyi “abah”. Sambil datang kepada abah, Aisyah akan sebut aa… aaba… abah. Sebagai abah, abah amat gembira dan bahagia sekali mendengar panggilan itu. Ummi juga tentunya. Cuma panggilan “ummi” payah sikit Aisyah nak sebut. Kekadang bunyi “umm” saja dan kekadang tu dengar bunyi “mi” saja. Yalah, lepas ni Aisyah nak belajar membaca pulak kan.

Aisyah dengan Acik Dila

Malam ini Aisyah dinner kat Hotel Concorde, Shah Alam. Hui, belagaknya… Taklah, Aisyah ikut ummi untuk makan malam sempena Seminar Antarabangsa Islam Hadhari Negeri Selangor.
Kali ini Aisyah jumpa ramai “acik” kan. Ini gambar Aisyah dengan acik Dila dan suami. He he, cute kan.

Aisyah di Perkampungan Hadhari Negeri Selangor

Tiga hari dua malam Aisyah tinggal di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam. Amboi… buat macam rumah sendiri. Siap bawa buaian sekali tu.
Kebetulan abah dan ummi ada tugasan untuk menjayakan Perkampungan Hadhari Negeri Selangor 2008 yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Abah dan ummi terpaksa membawa Aisyah dan juga Jang untuk sama-sama bermalam di sana. Eee… sukanya dia tidor kat hotel!

Dah Boleh Meniarap Dah

“Yes yes… Aisyah dah buleh menerap (meniarap) seniri dah.” Itu sms yang abah terima daripada Mak Jang pada suatu pagi ketika abah di pejabat. Abah terus telefon Njang. Njang kata Aisyah dah belajar meniarap dah.
Kata Njang, pagi tadi lepas dia mandi, dia tengok Aisyah yang sebelumnya berbaring di atas tilam tiba-tiba berada dalam keadaan meniarap. Ha ha, biasalahkan, Aisyah kan makin membesar. Sebelum ini Aisyah dibantu untuk meniarap apabila seringkali memusingkan badan ke sebelah kiri untuk meniarap. Syabas dan tahniah Aisyah!

Aisyah Dengan Acik Liza & Acik Nah

Pada ketika pertama kali (hari pertama Aisyah lahir) Nur Hasliza antara rakan sepejabat abah dan ummi yang bersama abah dan ummi ke Hospital Kuala Lumpur melihat Aisyah. Rakan-rakan lain yang turut serta ialah Nor Ariyana (Nana) dan Halimah (Kak Mah).
Abah tak tahu entah macamana Liza dan Aznah dalam masa beberapa waktu menjadi “rakan” Aisyah yang paling akrab. Mereka kerap mengunjungi Aisyah dan membelikan bermacam hadiah untuk Aisyah.
Ini ialah gambar ketika pertama kali Makcik Liza dan Makcik Nah datang untuk “menggulai” Aisyah. Aisyah menangis sebab tak berapa kenal Makcik Liza dan Makcik Nah lagi.
Ha ha ha… Dah nangis tu kenalah pujuk…

Aisyah Jalan-jalan di Megamall, Mid Valley

Pertama kali Aisyah dibawa keluar dari rumah setelah abah dan ummi membawa Aisyah pulang dari kampung ialah membawa Aisyah ke Tesco di Mutiara Damansara. Aisyah pada waktu itu masih “perak” atau “jakun” dengan orang ramai. Tercangak-cangak Aisyah melihat kelibat manusia yang ramai. Beberapa ketika Aisyah meragam, menangis semahu-mahunya. Disuanya puting, tak mahu. Disuanya susu, pun tak mahu. Akhirnya lekas-lekas abah dan ummi membawa Aisyah ke kereta dan bertolak pulang. Di dalam kereta Aisyah berhenti menangis dan kembali bergurau. Alahai Aisyah….
Kali kedua, pada suatu hujung minggu abah dan ummi membawa Aisyah ke Mega Mall, Mid Valley. Aisyah nampak excited. Ini ialah gambar yang dirakam melalui telefon bimbit ketika Aisyah di Mid Valley. Kali ini Aisyah sudah cerdik. Aisyah sudah pandai melihat orang. Tidak menangis lagi.
Satu perkara yang abah perasan, Aisyah suka tengok lampu. Terlangut-langut Aisyah tengok lampu. Betullah kot sebab namanya pun Aisyah Munirah. Dalam bahasa Arab, Munirah bermakna “yang menerangi”. Jadi, lampulah yang menerangi. Dan Aisyah Munirah menerangi hidup abah dan ummi.

Aisyah Kembali Ke Rumah Ummi dan Abah

Selama tiga bulan Aisyah tinggal di kampung ummi dan abah di Serdang, Kedah. Selama tiga bulan itu Aisyah dijaga oleh Tok, Tok Cik, Tok Su, Mak Jang, Mak Cik, Mama, Nek dan ramai lagi. Selama tiga bulan itu, Aisyah dijaga oleh Wan, Bonda dan Ayah.
Pada 4 November 2007, ummi dan abah membawa Aisyah kembali ke Kuala Lumpur atau tepatnya ke Kota Damansara, Petaling Jaya. Ujian pertama Aisyah, dalam perjalanan kita balik ini kereta yang abah pandu terlibat dalam kemalangan di KM418, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Tagar. Nasib baik kita semua tidak apa-apa. Hanya kereta abah saja yang teruk dan kena masuk bengkel.
Abah dan ummi bekerja. Justeru, abah terpaksa membawa juga Njang sekali untuk jaga Aisyah jaga Aisyah di rumah. Selamat kembali Aisyah Munirah!

20.07.2007

Dalam perjalanan ke pejabat bersama isteri, kami mendengar radio Era di dalam kereta. Pada pagi itu juru hebah yang bertugas mengucapkan “selamat hari lahir” kepada insan-insan yang lahir pada 20 Julai. Kata juru hebah itu lagi, tarikh hari ini (20 Julai 2007) adalah istimewa sekiranya ia adalah hari jadi atau hari lahir seseorang di mana susunan 20 Julai 2007 apabila disusun dalam angka menjadi 20072007. Saya dan isteri antara kisah dengan tidak hanya mengiakan saja dan berkata nombor ini tentu istimewa bagi insan yang lahir pada hari ini.
Maha Suci Tuhan! Dengan rahmat Allah SWT, kami tidak menyangka bahawa pada tarikh itulah, 20.07.2007, hari Jumaat lahirnya seorang insan ke dunia yang akhirnya menjadi anak angkat kami. Kami amat bersyukur kepada Tuhan atas anugerah ini. Ini adalah gambar hari pertama kelahirannya yang saya ambil pada pukul 6.15 petang pada hari sama. Inilah Aisyah Munirah!
Aisyah Munirah, permata hati abah dan ummi!