Aku Terima Nikahnya

Alhamdulillah, beberapa minggu [bulan?] bergelut dengan waktu, akhirnya Abah dapat juga menghabiskan telaah buku “Aku Terima Nikahnya” tulisan Sdr. Hasrizal Abdul Jamil.

Terus-terang awal Abah membeli buku ini adalah kerana faktor pengarangnya. Abah kenal pengarangnya, malah sebenarnya bukan kenal sangat pun hanya kenal kerana Hasrizal adalah pernah menjadi fasilitator di Fitrah Perkasa di mana di Fitrah Perkasa itu Abah pernah mengikuti training-nya yang amat mengesankan, sehinggalah ke hari ini.

Selebihnya Abah mengenali Hasrizal lewat laman blognya saifulislam.com dan ceramah-ceramahnya yang berbentuk MP3 itu. Terkini, Hasrizal juga yang memberi idea teledrama Cinta Sempurna yang sedang dipertontonkan di Astro Oasis.

Berbalik kepada buku Aku Terima Nikahnya, pada awalnya Abah menyangkakan ia adalah buku tentang nikah kahwin saja, buat orang dewasa kononnya. Ya, sangkaan itu tidak pula meleset jauh.

Separuh membaca buku itu berkisar tentang keluarga dan pasangan; tentang lelaki dan perempuan, tentang suami dan isteri, tentang Abah dan Ummi. Bermula dari halaman 116 sehinggalah ke akhirnya adalah halaman-halaman yang Abah pasti akan menjadi rujukan Abah sentiasa kerana di sana tercatatnya bagaimana Abah dan Ummi harus melayani anak-anak dengan betul dan sewajarnya.

Alhamdulillah, Abah mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT kerana mempertemukan Abah dengan buku dan “ilmu Allah” yang sangat berguna itu kepada Abah serta terima kasih Abah kepada Sdr. Hasrizal yang mengarang buku itu. Semoga Hasrizal akan terus diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus menulis. Terkini, buku Aku Terima Nikahnya 2 sudah mula menjengah pasaran selain buku ketiganya Rindu Pohon Tin juga sedang menyusul.

Insya’allah, dari semasa ke semasa Abah dan Ummi akan berkongsi maklumat dan pengalaman Abah daripada buku itu di laman ini.

Buat Aisyah, Abah dan Ummi sangat bahagia dengan kehadiranmu. Abah dan Ummi akan cuba memberikan kasih sayang yang terbaik buatmu.

Sebagaimana sukarnya Abah dan Ummi melepaskanmu setiap pagi untuk ditinggalkan di rumah pengasuh (nurseri) begitulah rindunya Abah dan Ummi untuk segera lekas pulang dari tempat kerja untuk mengambilmu secepat mungkin. Setiap hari!

0 Responses