Aisyah Demam Panas & Cirit-birit

Ahad, 18 Januari 2009. Aisyah datang kepada Abah hampir jam 7.00 pagi, tiba-tiba Aisyah muntah di sisi Abah. Abah jadi cemas sedikit. Abah ceritakan kepada Ummi. Namun, pukul 5.45 pagi tadi Ummi maklumkan Abah, Aisyah muntah juga, muntahkan lendir kata Ummi. Sebetulnya Aisyah selsema sejak beberapa hari lalu. [Gambar: Aisyah ketika mula demam pada pagi Ahad, 18 Januari 2009]

Awal pagi Aisyah ok jer. Masih ceria dan lincah dengan keletahnya yang lucu-lucu begitu. Lebih kurang jam 10.00 pagi Abah dan Ummi rasa tidak sedap hati dan terus membawa Aisyah ke klinik. Klinik Izham pilihan Abah.

[Aisyah ada dua klinik yang serasi dan dua orang doktornya amat memahami sakit-sakit Aisyah sejak Aisyah berumur empat bulan lagi. Klinik Nadia dan Klinik Izham. Bagusnya klinik Izham ini beroperasi 24 jam, Apabila jika ada kecemasan, bila-bila pun boleh pergi.]

Aisyah diberikan ubat selsema, ubat demam, ubat tahan muntah dan antibiotik. Ini pun satu “penyakit lagi”, Aisyah bukan main payah nak makan ubat….

Ummi kemudiannya ajak Abah terus ke Tesco. Susu dan lampin Aisyah dah nak habis kata Ummi. Di Tesco Aisyah pun masih lagi ceria dan berkeletah macam biasa. Berjalan ke sana ke mari dengan laju dan bising mulutnya.

Dalam perjalanan balik ke rumah, Aisyah mula menunjukkan perubahan. Nampak Aisyah letih dan pucat. Dalam kereta tidak lagi nakal seperti selalunya dan hanya bersandar dan berbaring pada Ummi. Suhu badan Aisyah abah berasa panas sedikit.

Tengahari, Aisyah tidak lalu makan dan tidak mahu makan. Suhu badan Aisyah panas. Aisyah mula merengek dan tidak lagi boleh berjauhan dengan Ummi atau Abah. Ummi atau Abah mesti ada di samping Aisyah. Kalau tak nampak Ummi atau Abah, Aisyah akan gunakan strategi biasa Aisyah untuk menarik perhatian Ummi atau Abah: menangis!

Petang itu Aisyah betul-betul demam. Demam panas. Menjelang malam, panasnya makin garing. Apa yang lebih merisaukan Abah, Aisyah tidak boleh tidur dalam waktu yang lama. Paling lama Aisyah tidur hanya setengah jam sepanjang malam itu. Sebaik saja terjaga dari tidur, Aisyah akan merengek dan menangis. Setengah jam pula kemudiannya Abah dan Ummi kena pujuk Aisyah supaya Aisyah dapat tidur semula. Aisyah kena banyak berehat dan tidur supaya ubat Aisyah memberi kesan. Air asam jawa juga Ummi jelumkan di kepala Aisyah untuk mengurangkan panas badan Aisyah.

Semalaman Aisyah tidur, bangun, merengek dan menangis bersilih ganti. Abah dan Ummi juga tidak dapat tidur semalaman. Bangun saja tidur AIsyah hendak duduk di ribaan Abah atau Ummi. Kekadang, Aisyah mahu didukung dan mahu dikendong. Jam 3.00 pagi Abah sudah berkira-kira mahu membawa Aisyah ke klinik lagi. Ke Hospital Sungai Buloh juga menjadi pertimbangan Abah waktu itu. Ummi masih bertahan lagi dan berkata kita tunggu dan lihat perkembangan Aisyah pagi besok.

Isnin, 19 Januari 2009. Abah dan Ummi pening-pening lalat kesan tidur yang tidak sempurna semalamnya. Sesuatu yang Abah berasa cukup ralat di awal pagi dan di awal minggu permulaan kerja ini ialah meminta emergency leave dari tempat kerja. Tapi yalah, nak buat macamana, semua ini bukan kehendak Abah dan Ummi, apatah lagi dirancang.

7.30 pagi Abah dan Ummi yang telah bersiap untuk ke pejabat membatalkan saja rancangan itu dan terus membawa Aisyah ke Klinik Izham lagi. Simptom baru Aisyah pagi ini ialah cirit pula. Seharian semalam Aisyah tidak menjamah makanan pun hanya minum susu dan air saja. Jelas sekali Aisyah tidak bertenaga hari ini.

Oh Tuhan, dalam perjalanan dari rumah hendak ke klinik yang jauhnya cuma empat kilometer dari rumah itu pun, jalan jamm bukan main. Sejak berpindah ke pejabat baru, laluan ini yang biasa Abah ikut sejak lima tahun dulu sudah begitu teruk sesaknya. Luar biasa sekali.

Aisyah masih lagi merengek dan menangis. Ya, tentu saja Aisyah tidak selesa dengan panas badan dan demam Aisyah ini kan? Yalah, Aisyah tidak dapat beritahu kan? Abah dan Ummi faham.

Doktor Izham yang bertugas hari ini memaklumkan bahawa Aisyah kembung perut pula. Perut Aisyah keanginan. Doktor memberi ubat kembong perut pula. Katanya Aisyah cirit disebabkan perut yang keanginan.

Balik dari klinik, Aisyah cirit lagi dan buat hal yang sama; menangis dan merengek sepanjang perjalanan. Buat pertama kalinya Abah dan Ummi berasa inilah ragam Aisyah yang paling teruk sekali apabila demam. Aisyah pernah demam lebih teruk dari ini, demam campak; namun Aisyah tidak begitu meragam waktu itu.

Aisyah Munirah: permata hati Ummi dan Abah! Semoga lekas sembuh sayang!

0 Responses