Yang Aisyah Dah Kenal...

Hari ketujuh puasa. Selepas subuh. Pukul 7.00 pagi tetiba abah rasa mengantuk yang amat sangat. Semalam abah membaca sehingga jam 3.00 pagi, pukul 5.00 sudah bangun untuk sahur, justeru abah berasa hendak baring-baring sekejap.
Aisyah tiba-tiba datang dengan sengih dan senyum yang sememangnya menggeramkan abah dan ummi selama ini. Anak abah dah bangun! Seperti biasa Aisyah akan abah cium. Hmm… sayang sikit, sayang sikit. Itu dialog yang biasa abah guna untuk mencium pipi Aisyah.
Entah macamana abah tergerak untuk bertanya Aisyah beberapa soalan.
“Telinga mana telinga?” Itu soalan abah.
Sambil tersenyum Aisyah angkat tangan dan terus pegang cuping telinga kanan. Abah agak terkejut, namun hati abah berbunga gembira. Girang dan bangga.
“Rambut mana rambut?”
Aisyah angkat lagi tangan kanan dan pegang kepala sambil menyapu rambut Aisyah yang jarang itu. Juga dengan senyum yang tidak lekang dari bibir Aisyah. Abah bangga lagi.
“Gigi mana gigi?”
Kali ini Aisyah menyeringai, tersengih menunjukkan gigi Aisyah yang baru tumbuh lapan batang itu. Oh Aisyah, anak abah dan ummi ini semakin pintar ya.
“Hidung mana hidung?” Kali ini Aisyah nampak kaget. Tak tahu.
“Tangan mana tangan?”
Aisyah mengangkat kedua-dua tangannya ke atas.
“Kaki mana kaki?”
Aisyah terus mengangkat kaki kanannya dan ditunjukkan pada abah.
Abah terus bangun dan membawa Aisyah kepada ummi yang masih tidur. “Ummi, ummi bangun ni, tengok Aisyah ni,” kata abah.
“Kenapa?” tanya ummi.
Lalu, abah mengulangi semua soalan-soalan yang abah tanyakan Aisyah tadi dan Aisyah pun mengulangi jawapan-jawapan itu dengan senang hati.
Hati ummi dan abah sangat girang hari ini…!
0 Responses